​TARIKH 8 Mac menandakan Hari Wanita Antarabangsa, yang telah disambut secara global sejak 1975 dan bermula seawal 1911.

Hari ini disambut bagi meraikan wanita dari pelbagai lapisan masyarakat, sama ada kita suri rumah menjaga hal ehwal keluarga mahupun wanita yang berkerjaya dan memegang jawatan kepimpinan.
Ia juga menawarkan peluang yang baik untuk meneliti pentingnya kesihatan wanita kerana mereka merupakan faktor asas dalam membina unit keluarga.

Perubahan fizikal dan hormon

Seseorang wanita mengalami perubahan fizikal dan hormon yang ketara apabila mereka bermula haid, biasanya sekitar usia 11-14 tahun.

Namun sejak kebelakangan ini, menarche (iaitu kejadian haid pertama) boleh bermula seawal usia 9 tahun disebabkan faktor persekitaran.

Penyelewengan haid, walaupun biasa, tidak normal dan boleh membuat seseorang berasa cemas atau risau.

Salah satu keadaan adalah 'Polycystic Ovary Syndrome' atau PCOS, di mana mereka mempunyai berlebihan hormon lelaki, iaitu androgen.

Ovari juga boleh menghasilkan banyak koleksi kecil cecair dan gagal melepaskan telur setiap bulan, mengakibatkan penyelewengan haid.

Keadaan sedemikian boleh menimbulkan masalah seperti subfertiliti dan gangguan metabolik seperti penyakit kencing manis.

Keadaan ini juga sebahagian besarnya dikaitkan dengan obesiti. Oleh itu, sebarang bentuk penyelewengan haid memerlukan rawatan perubatan selanjutnya untuk menentukan punca sebenarnya.

Kehamilan

Jadual Imunisasi Kebangsaan pula menyarankan kaum wanita di antara usia sembilan 9 dengan 26 tahun menerima vaksin virus papiloma manusia atau Human Papilloma Virus (HPV).

Vaksin ini membantu untuk melindungi daripada jenis hasil jangkitan HPV yang boleh membawa kepada barah pangkal rahim, yang merupakan antara 10 barah paling biasa di antara kaum wanita Singapura.

Selain itu, ia boleh melindungi daripada penyakit-penyakit yang lain seperti ketuat kemaluan yang bukan barah.

Bagi wanita yang berada di puncak kehidupan mereka, lazimnya ini menandakan kesihatan optimum, dan ini amat penting terutama sekali jika mereka ingin hamil.

Kajian telah menunjukkan bahawa apabila kaum wanita mempersiapkan diri untuk hamil, kehamilan itu lebih cenderung untuk mempunyai kehasilan yang lebih baik.

Para wanita boleh melakukan pemeriksaan mudah seperti ujian untuk tekanan darah tinggi dan kencing manis, serta mengambil makanan tambahan folik asid sekiranya mereka ingin hamil.

Ini boleh dilakukan selari dengan memakan makanan yang berkhasiat serta menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik, adalah lebih baik untuk membincang rancangan mereka untuk hamil dengan doktor kerana setiap nasihat berbentuk peribadi.

Apabila seorang wanita hamil, beliau dikurniakan berkat yang paling indah untuk menjaga seseorang manusia dalam badannya.

Suatu berkat sebesar ini akan memikul tanggungjawab yang berat juga. Sehingga satu dalam lima wanita Singapura berisiko mendapat kencing manis kehamilan, di mana paras gula dalam badan melebihi tahap yang dibenarkan semasa kehamilan, dan ini boleh membawa kepada pelbagai komplikasi semasa kehamilan dan kelahiran bayi untuk kedua-dua ibu dan bayi.

Kedua-duanya juga berisiko tinggi untuk menghidap penyakit kencing manis di kemudian hari.

Oleh itu, kaum wanita digalak untuk terus memakan makanan sihat, memantau berat badan dan kekal aktif dalam tahap toleransi fizikal mereka, atau seperti yang ditentukan oleh doktor.

Sokongan sosial adalah penting bukan sahaja semasa kehamilan, tetapi juga selepas kerana keibuan secara tersendiri membentangkan cabaran baru.

Seseorang wanita mungkin kurang cukup tidur dan letih demi memenuhi penjagaan bayinya yang baru lahir.

Kadangkala, para ibu juga boleh terlalu tertumpu terhadap penjagaan bayi justeru mengabaikan kesihatan rohani sendiri.

Menurut KKH, kira-kira 80 peratus dari kaum wanita mengalami beberapa tahap gangguan emosi dalam tempoh selepas bersalin.

Jika tidak dikenal pasti awal dan dibantu, ditambah pula dengan tahap tekanan yang berterusan tinggi, ini boleh mencetus kemurungan selepas bersalin, yang seterusnya boleh membawa kesan negatif atas bukan sahaja ibu dan anak, tetapi keluarga secara keseluruhannya.

Dua soalan utama yang boleh dipersembahkan pada seseorang ibu dalam mengenal pasti kemurungan selepas bersalin adalah:
1) Pada bulan lepas, adakah anda sering diganggu oleh perasaan mood yang rendah, tertekan atau tidak berharap?; dan
2) Pada bulan lalu, adakah anda sering tidak mempunyai sedikit minat atau keseronokan dalam melakukan sesuatu?

Jika seorang wanita menjawab 'ya' kepada mana-mana soalan di atas, adalah berhemat untuk mengarahkannya kepada profesional perubatan pada peluang terawal.

Barah buah dada

Suatu jenis barah yang biasa, malah yang paling biasa di antara kaum wanita Singapura hari ini, adalah barah buah dada.

Selepas umur 30 tahun, adalah disarankan untuk kita melakukan pemeriksaan bulanan buah dada sendiri kerana ia boleh menjejas sekurang-kurangnya satu dalam 11 wanita dalam seumur hidup mereka.

Kaum wanita pula boleh meneruskan dengan mamogram setiap tahun daripada usia 40 hingga 49 tahun, dan sekali setiap dua tahun apabila mereka berusia 50 tahun dan ke atas.

Bagi mereka yang mempunyai risiko tambahan seperti mempunyai saudara terdekat yang didiagnosis dengan barah buah dada, pemeriksaan mereka akan berbeza berdasarkan nasihat doktor.

Menopaus

Putus haid, ataupun menopaus, ditakrifkan sebagai akhirnya tempoh haid terakhir, dan selalunya bermula pada julat umur 45 hingga 55 tahun.

Ini hanya boleh didiagnosis secara retrospektif apabila seorang wanita tidak mempunyai aliran haid selama setahun.

Sebelum ini adalah tempoh pramenopausal, di mana wanita mungkin mengalami penyelewengan haid dan gejala-gejala lain seperti kekeringan faraj dan 'hot flashes', disebabkan kekurangan hormon wanita.

Untuk mengatasi gejala-gejala tersebut, sebahagian besarnya melaksanakan gaya hidup sihat, seperti menggabungkan diet yang sihat, bersenam dan mengurangkan berat badan kita.

Mempunyai kekurangan hormon wanita selepas putus haid juga bermakna bahawa perlindungan tulang kita yang semula jadi telah pun luput.

Jika tulang kita tidak dibina dengan khasiat kalsium secukupnya sebelum putus haid, ia boleh membawa kepada keadaan yang dikenali sebagai osteoporosis, di mana tulang kita menjadi lemah dan rapuh, sehingga boleh retak dengan mudah.

Keadaan sebegini akan menambahkan lagi risiko tulang retak. Sebilangan keadaan retak tulang pula mungkin berlaku dengan kesan minima, seperti batuk.

Oleh itu, kita digalakkan untuk mempunyai diet yang tinggi dengan kalsium, magnesium, vitamin B12, C dan D, terutamanya sebelum umur 30 tahun untuk membina jisim tulang untuk tahun-tahun kemudian.

Kita juga harus melibatkan diri dalam latihan menanggung berat badan yang menggalakkan keseimbangan seperti taichi, yoga atau pilates.

Wanita berusia 65 tahun dan ke atas pula digalakkan melakukan imbasan ketumpatan mineral tulang (BMD) bagi mengesan kehilangan tulang awal.

Sempena Hari Wanita ini, mari kita mengambil peluang untuk mengutamakan kesihatan kita bersama keluarga, kerana kedua-duanya sama penting.

Selamat Hari Wanita Antarabangsa semua!

Penulis Pakar Perubatan Keluarga Poliklinik SingHealth.

 

Source: Berita Harian, Singapore Press Holdings Limited. Reproduced with permission.