​WALAUPUN sedang menjalankan umrah, naluri Cik Nurlaila Maidin sebagai seorang jururawat pantas mendorongnya untuk membantu seorang jemaah warga emas dalam rombongannya yang tercedera.

Wanita berusia 71 tahun itu terjatuh apabila beliau tersandung bagasinya pada hari keempat lawatan umrah pada Oktober tahun lalu.

"Setelah memeriksanya, saya perhatikan beliau dalam keadaan amat sakit dan besar kemungkinan mengalami tulang yang retak.

"Saya menasihatinya untuk tidak banyak bergerak untuk mencegah kecederaan lagi, dan terus memaklumkan pegawai lawatan," kata Cik Nurlaila, 43 tahun, kepada Berita Harian.

Jemaah yang tercedera itu kemudian dibawa ambulans ke hospital setempat yang terdekat. Syarikat insurans juga segera dimaklumkan untuk memastikan kos perubatan wanita itu akan dibiayai.

Hospital setempat itu menjalankan X-Ray dan mengesahkan bahawa wanita itu mengalami tulang pinggul yang retak.

Namun, hospital tersebut tidak dapat membantu wanita itu lebih lanjut memandangkan beliau warga asing.

Sekali lagi, Cik Nurlaila memanfaatkan pengalamannya sebagai seorang jururawat untuk membantu jemaah itu mempertimbangkan langkah lanjut.

"Saya memang selalu memeriksa kemudahan di sekeliling hotel apabila saya berada di luar negara.

"Saya mencari pusat perubatan privet yang berdekatan dan menasihatkan pegawai untuk memindahkan warga emas itu ke pusat perubatan privet tersebut untuk mendapatkan penjagaan lanjut," ujar Cik Nurlaila.

Pusat tersebut itu kemudian memindahkan jemaah tersebut ke Jeddah untuk menjalani pembedahan dan pemulihan.

Wanita itu akhirnya pulih dan kembali ke Singapura seminggu setelah pembedahannya.

Cik Nurlaila, seorang jururawat klinisian di Hospital Masyarakat Sengkang - yang berada di bawah Hospital Masyarakat SingHealth - mengongsi beberapa panduan bagi warga emas yang bercuti atau menjalankan umrah.


PAKAI KASUT YANG SELESA DAN SESUAI
Antaranya, ramai warga emas mungkin mengambil ringan kepentingan memakai kasut yang selesa dan bersesuaian.

Contohnya, kasut yang tidak mempunyai 'padding' secukupnya mungkin menyebabkan kesakitan kepada warga emas. Khususnya, buku lali, lutut dan tulang belakang bawah boleh terjejas jika mereka tidak memakai kasut yang sesuai.

BAWA UBAT KRONIK DAN UBAT ASAS
Warga emas juga dinasihatkan membawa kesemua perubatan yang berkaitan dengan penyakit kronik dan membawa perubatan tambahan jika boleh.

Selain ubat penyakit kronik, mereka dianjurkan membawa perubatan asas seperti paracetamol, ubat batuk, ubat selesema dan ubat alahan. Perubatan ini mungkin mudah didapati di Singapura tetapi sukar didapati di luar negara, kata Cik Nurlaila.

DAPATKAN INSURANS TERBAIK
Beliau juga mengesyorkan agar warga emas mendapatkan perlindungan insurans yang terbaik.

"Buat perbandingan antara syarikat insurans, dan periksa betul-betul perlindungan yang disediakan dan bincangkan dengan anggota keluarga sebelum membuat apa-apa keputusan.

"Kalau ragu-ragu, tanyalah syarikat insurans dan rancang awal dan tidak beli insurans pada saat akhir," ujarnya.

SELIDIK KEMUDAHAN BERDEKATAN
"Penting juga bagi orang yang membawa warga emas untuk menyelidiki sumber yang ada, seperti kemudahan hospital, kedutaan dan bantuan kecemasan berdekatan tempat penginapan cuti agar mereka tidak panik apabila kecemasan berlaku.

"Buat rancangan dan persediaan awal bagi percutian anda," kata Cik Nurlaila.

RANCANG KEGIATAN YANG SESUAI
Dari segi kegiatan semasa percutian pula, beliau mengesyorkan agar kegiatan itu mengambil kira tahap kesihatan warga emas.

Contohnya, warga emas perlu mengelakkan terlalu banyak berjalan jika mereka mempunyai lutut yang lemah, atau membawa tongkat untuk memberi sokongan yang baik semasa berjalan.

BAWA DOKUMEN YANG JELASKAN PENYAKIT
Warga emas juga digalakkan membawa surat yang menjelaskan penyakit sedia ada mereka agar doktor tahu rawatan yang perlu diberikan, jika warga emas itu perlu dimasukkan hospital di luar negara.

Jika warga emas mempunyai kad Medik Awas, penting bagi mereka membawa kad itu untuk memaklumkan pegawai penjagaan kesihatan tentang isu perubatan yang dihadapi dan mencegah peristiwa yang tidak diingini.

Maklumkan syarikat insurans jika warga emas perlu dimasukkan ke hospital di luar negara, kata Cik Nurlaila lagi.

"Penting juga bagi orang yang membawa warga emas untuk menyelidiki sumber yang ada, seperti kemudahan hospital, kedutaan dan bantuan kecemasan berdekatan tempat penginapan cuti agar mereka tidak panik apabila kecemasan berlaku.

Buat rancangan dan persediaan awal bagi percutian anda."