BELIAU mungkin tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan pesakit di bawah jagaannya, namun Cik Suraya Abdullah dianggap seperti anggota keluarga sendiri bagi sebahagian daripada mereka.

Ini terutama bagi warga emas yang tinggal sendirian dan tidak mempunyai anggota keluarga yang menjenguk atau menjaga mereka sepanjang tempoh mereka berada di hospital.

Sebagai seorang jururawat klinisian di Hospital Masyarakat Outram (OCH), Cik Suraya perlu mendampingi pesakit di sana yang kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas.

Selain membantu menjaga kesihatan mereka, Cik Suraya juga menawarkan sokongan emosi kepada mereka, demi mengelak daripada mengalami kesepian yang boleh menjejas kesihatan dan kesejahteraan pesakit.

"Satu cara adalah untuk meyakinkan mereka bahawa saya di sini akan mendengar keluhan mereka, atau jika mereka ingin berkongsi keadaan emosi mereka atau memerlukan teman berbual.

"Ini dapat mengurangkan rasa kesepian itu dan meningkatkan lagi kesejahteraan mereka," ujar Cik Suraya, 57 tahun, yang telah berkhidmat sebagai jururawat selama lebih 30 tahun.

Cik Suraya menambah jururawat seperti beliau juga dapat membantu mewujudkan semangat kemasyarakatan dalam kalangan pesakit dengan menggalakkan mereka berinteraksi antara satu sama lain dan mengadakan aktiviti di dalam wad.

"Ini dapat membantu mereka berhubung antara satu sama lain dan mereka dapat buat kawan, yang mereka masih boleh berhubung selepas mereka keluar dari hospital," katanya.

Menurut Cik Suraya, beliau turut mendapati ramai warga emas tinggal sendirian dan ini boleh menimbulkan masalah apabila mereka perlu mendapatkan bantuan perubatan.

"Mereka yang tinggal sendirian mungkin tidak mempunyai sesiapa yang dapat mendampingi mereka untuk berjumpa doktor atau membantu mereka dalam melakukan aktiviti harian.

"Selama bekerja di hospital masyarakat ini, saya dapat lihat ramai pesakit berusia 60 tahun ke atas.

"Matlamat kami adalah untuk membantu pesakit kembali pulih, supaya mereka boleh pulang ke rumah dan juga ke pangkuan masyarakat dengan selamat, terutama bagi mereka yang tinggal sendirian.

"Mereka perlu berdikari dan menjaga diri sendiri," ujarnya.

Menyingkap pengalamannya menjaga salah seorang warga emas yang tinggal sendirian Ramadan lalu, Cik Suraya berkata pada masa itu beliau menjadi "teman dan anggota keluarga" warga emas itu.

Pesakit tersebut mengalami masalah demensia dan perlu menjalani rawatan di hospital masyarakat sebelum dipindahkan ke rumah penjagaan warga emas.

"Beliau tak mempunyai sesiapa. Beliau tidak pernah berkahwin, ibu bapanya juga sudah meninggal dan adik-beradiknya tidak mampu menjaganya.

"Tiada orang yang datang menjenguknya sekali pun, saya jadi teman dan juga keluarganya sepanjang tempoh beliau di hospital," katanya.

Menurut Cik Suraya, pengalaman tersebut cukup menyentuh hati kerana Ramadan biasanya masa untuk berkumpul bersama keluarga.

"Memang sedih bila lihat tidak ada orang yang ziarah beliau terutama semasa Ramadan, tempoh di mana ramai antara kita yang biasanya akan meluangkan masa bersama anggota keluarga untuk berbuka dan bersolat berjemaah," katanya.

Dalam menjalankan tugasnya, Cik Suraya berazam untuk terus memberi bantuan dan sokongan yang diperlukan pesakit di bawah jagaannya.

"Saya ingin pesakit dan juga keluarga mereka sedar bahawa kami di sini untuk sama-sama mengharungi masa mencabar ini bersama," katanya.