​KAKITANGAN di poliklinik SingHealth (SHP) telah mempertingkat usaha sokongan mereka terhadap pekerja asing dengan menyumbang lebih 1,700 pakaian dan tuala baru yang dikumpulkan dalam masa kurang seminggu.

Pakaian dan tuala ini telah didermakan kepada pekerja asing yang tinggal di asrama Tampines, salah satu daripada asrama yang kini diwartakan sebagai tempat pengasingan ekoran Covid-19.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan poliklinik SingHealth kelmarin, keperluan perubatan para pekerja di asrama itu kini juga dijaga SHP sejak beberapa minggu lalu.

Hampir 60 kakitangan SHP telah menjadi sukarelawan sejauh ini menawarkan jagaan perubatan bagi pekerja asing sejak pertengahan April.

Pengarah Khidmat Klinikal Serantau (Tenggara), SHP dan Ketua Operasi Perubatan di asrama Tampines bagi SHP, Dr Gilbert Tan, berkata:

"Saya terharu melihat kesediaan kakitangan kami menyahut cabaran untuk menghulurkan sokongan dan menjadi sebahagian daripada operasi perubatan di asrama Tampines.

"Melihat keadaan yang dihadapi pekerja asing dan melihat rasa ketidaktentuan yang mereka hadapi memberi semangat kepada kami melakukan lebih baik untuk mereka, selain menyumbang masa dalam menawarkan khidmat perubatan kepada mereka."

 

Source: Berita Harian, Singapore Press Holdings Limited. Reproduced with permission.