PERDANA Menteri Lee Hsien Loong berkata Singapura perlu mencari cara baru untuk membiayai perbelanjaan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat dalam tempoh pertengahan setelah perbelanjaan penjagaan kesihatan sudah pun melebihi $9 bilion.

Berkata demikian semasa pembukaan rasmi hospital baru terbesar Singapura, Hospital Besar Sengkang (SKH) dan Hospital Masyarakat Sengkang (SKCH) semalam, beliau berkata perbelanjaan itu sudah meningkat lebih pantas daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

"Tentunya, ia akan meningkat lagi. Pada akhirnya, ia tidak lagi akan dapat bertahan. Dalam jangka pertengahan, kita perlu mencari cara baru bagi membiayai perbelanjaan penjagaan kesihatan ini,'' ujar PM Lee.

Pada masa yang sama, pemerintah perlu memikirkan apakah yang perlu dibelanjakan serta ubat dan prosedur mana yang dapat menjimatkan kos.

"Keputusan sukar perlu dibuat dan saya berharap kami akan mendapat sokongan rakyat Singapura dalam melaksanakannya," tambah Encik Lee.

Kenyataan PM Lee itu dibuat sedang Kementerian Kesihatan (MOH) berkata ia akan berhenti sementara untuk merancang keperluan penjagaan kesihatan masa depan selepas hospital besar awam seterusnya dibuka di Woodlands pada 2022.

Namun, jumlah yang dibelanjakan Singapura untuk sektor penjagaan kesihatan adalah lebih rendah berbanding negara maju lain tetapi masih tetap memberikan hasil yang lebih baik.

"Sebab utama ialah kerana kita telah menyusun sistem dengan sebaiknya dan membina insentif yang betul untuk melindungi daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan yang berlebihan," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau menambah ia juga amat penting bagi sistem penjagaan kesihatan disesuaikan dengan keperluan penjagaan kesihatan penduduk yang berubah.

Ini lebih-lebih lagi dengan jumlah rakyat Singapura yang hidup lebih lama, berdepan dengan lebih banyak penyakit kronik seperti kencing manis dan kolesterol tinggi serta keluarga yang lebih kecil, yang bermakna kurangnya anggota keluarga untuk menjaga mereka yang lanjut usia di rumah.

"Satu anjakan utama yang kami lakukan ialah mengambil pendekatan pelbagai disiplin dan mengutamakan pesakit.

"Bagi hospital, ini bermakna menyepadukan lebih banyak khidmat di satu lokasi," katanya.

Atas dasar itu, SKH dan SKCH ditempatkan di lokasi yang sama seperti Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Masyarakat Jurong.

Kampus bersepadu Sengkang, yang meliputi SKH dan SKCH, akan dapat memenuhi keperluan penduduk di kawasan Timur Laut khususnya Sengkang dan Punggol.

Apabila dibuka sepenuhnya, ia akan menambah 1,000 katil hospital di SKH berbanding 500 ketika ini dan 400 katil masyarakat di SKCH berbanding 150 ketika ini.

Pesakit di SKH boleh menerima pelbagai khidmat seperti mengenal-pasti penyakit lebih awal, menjalani rawatan serta pemulihan.

Pelbagai khidmat khusus juga ditawarkan buat pesakit SKH menyusuli usaha kerjasama antaranya, dengan Pusat Mata Nasional Singapura dan Pusat Gigi Nasional.

SKH juga telah bekerjasama dengan hampir 30 doktor keluarga (GP) di Sengkang dan Punggol untuk menawarkan pengurusaan penyakit kronik selain menyokong poliklinik Punggol dan Sengkang bagi menguruskan kes kencing manis yang lebih rumit.

Tahun depan, Hospital Masyarakat Outram akan dibuka, manakala Hospital Besar Woodlands serta Hab Penjagaan Bersepadu Tan Tock Seng akan juga dibuka sekitar 2022.


Source: Berita Harian © Singapore Press Holdings Limited. Permission required for reproduction.