Lebih 3,400 kakitangan merentasi sektor penjagaan kesihatan diiktiraf atas perkhidmatan bermutu mereka semalam dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Kesihatan Bermutu (Health Quality Service) Singapura yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Universiti (UCC), Universiti Nasional Singapura (NUS).

Ini merupakan tahun kesembilan acara penyampaian anugerah tahunan itu diadakan, anjuran Pusat Perubatan Akademik SingHealth Duke-NUS sejak 2011.

Presiden Halimah Yacob selaku tetamu terhormat menyampaikan 3,462 anugerah Perak, Emas, Bintang dan Superstar kepada profesional penjagaan kesihatan daripada 34 institusi penjagaan kesihatan awam serta swasta, dan juga pertubuhan daripada sektor Penjagaan Jangka Pertengahan dan Jangka Panjang (ILTC).

“Penerima anugerah telah membezakan diri mereka dengan melakukan yang lebih dan meningkatkan standard bagi memberikan penjagaan bermutu dan pengalaman positif buat pesakit dan penjaga mereka,” kata Presiden Halimah dalam ucapannya.

Beliau menambah bahawa disebabkan komitmen dan sokongan mereka, pesakit dan penjaga diperkasa dengan pengetahuan, keyakinan dan tanggungjawab dalam mengurus keadaan mereka.

“Pelan penjagaan menjadi lebih peribadi dan bermakna apabila kita melibatkan pesakit dan mempertimbangkan matlamat rawatan yang ada dalam fikiran mereka. Ini mempertingkat khidmat penjagaan, memperbaiki hasil rawatan, dan mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan,” jelasnya.

Antara penerima Anugerah Superstar, iaitu anugerah tertinggi, ialah Profesor Madya Adjung Tan Heng Hao yang membuat keputusan mendalami perubatan reproduktif pada 2008.

Beliau berkata merawat pesakit sering memerlukannya memainkan peranan tambahan, iaitu menjadi rakan dan tempat mengadu.

Profesor Tan merupakan perunding kanan dan ketua Jabatan Perubatan Reproduktif di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), dan juga pengarah Pusat KKIVF.

Ramai pasangan yang datang kepadanya berkata mereka mengalami stigma sosial kerana tidak mempunyai anak, dan ini menyebabkan kebimbangan, kemurungan dan kadangkala keretakan dalam perkahwinan mereka.

Justeru, tugasnya sebagai doktor bukan sekadar memenuhi keperluan perubatan.

Menurutnya, doktor kesuburan yang baik memerlukan kesabaran, empati, dan sikap yang tidak menghukum orang.

“Tekanan sosial agar mempunyai lebih anak atau meneruskan nama keluarga sangatlah berat. Oleh itu, ini selalunya bukan sekadar isu perubatan, malah psikologi dan emosi,” katanya.