​BARU selesai makan malam semasa ditugaskan di wad bersalin Hospital Kandang Kerbau (KKH), Cik Faridah Mohamed 'melayan' nalurinya untuk memeriksa keadaan seorang ibu hamil. Tidak disangka, apabila beliau membuka selimut pesakit itu, sebahagian kepala bayi sudah terkeluar daripada faraj ibunya.

Dengan segera, Cik Faridah terpaksa membantu melahirkan bayi tersebut.

"Entah kenapa, mungkin naluri seorang jururawat, saya pergi periksa pesakit itu," ujarnya yang telah menapak dalam bidang kejururawatan sejak 1973. Pengalaman yang tidak dapat beliau lupakan itu berlaku di awal kerjayanya, yang bermula pada usia muda 18 tahun.

"Tanpa menggunakan sarung tangan, saya segera membantu melahirkan bayi itu. Saya juga ingat pada ketika itu cecair amnion (amniotic fluid) memercik di seluruh muka dan cermin mata saya. "Dalam fikiran saya, hanya ada satu cara saja iaitu untuk selamatkan bayi itu," kongsinya yang kini bidan kanan di Poliklinik Outram.

Bidan yang kini berusia 65 tahun itu juga merupakan satu-satunya bidan terlatih yang terakhir di Poliklinik SingHealth (SHP).

Menjelang Hari Jururawat yang jatuh lusa ini, sumbangan bakti Cik Faridah selama 46 tahun dalam bidang tersebut akan diiktiraf. Beliau menerima Anugerah Ketua Jururawat 2019 Poliklinik SingHealth (SHP). Sewaktu dihubungi Jumaat lalu, Cik Faridah yang telah berangkat ke Tanah Suci semalam untuk menunaikan haji, meluahkan rasa syukur atas penganugerahan itu.

"Saya amat terkejut dan tak sangka akan diberikan anugerah itu. Saya rasa beruntung dapat bekerja dalam bidang penjagaan kesihatan," katanya.

Pada lewat tahun 1980-an, apabila KKH menjalani penstrukturan semula, Cik Faridah memutuskan untuk mengorak langkah dalam bab kejururawatan baru iaitu sebagai penolong bidang pergigian. Ini agar beliau dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anaknya.

Keputusan tersebut diambil selepas 18 tahun beliau menimba pengalaman dan ilmu berkhususkan dalam bidang penjagaan perbidanan dan bersalin di hospital itu.

Menceritakan pengalaman beliau menukar pengkhususan, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata: "Sering juga saya dimarahi oleh doktor gigi. Bayangkan dalam beberapa minggu, saya harus ingat pelbagai alat baru dan ia tidak membantu bahawa dalam pergigian, mereka gunakan banyak alat.

"Tapi saya selalu pesan kepada diri saya, 'jika orang lain boleh lakukannya, kenapa saya tidak boleh?'."

Meskipun mencabar, berkat kegigihan Cik Faridah membawa hasil sehingga beliau menggalas tanggungjawab sebagai penolong bidang pergigian kanan. Pada 2003, beliau kembali kepada 'cinta pertamanya', berkhidmat sebagai bidan.

"Kalau ingin menjadi seorang jururawat, mesti ada komitmen dan sifat tanggungjawab kepada pesakit," pesan nenek kepada dua cucu perempuan itu.

Cik Faridah yang percaya kepada pembelajaran sepanjang hayat, berhasrat untuk menyumbang kembali kepada penjagaan kesihatan dengan ilmu dan pengalaman yang beliau miliki tatkala beliau bersara kelak.

 

Souce: BeritaHarian, Singapore Press Holdings Limited. Reproduced with permission.